Mengenai Takaful


1. Apa itu Takaful?

➽ "Takaful” ertinya suatu perkiraan yang berasaskan pertolongan secara bersama yang di bawahnya peserta Takaful bersetuju untuk menyumbang kepada suatu kumpulan wang yang sama yang menyediakan manfaat kewangan bersama yang kena dibayar kepada peserta Takaful itu atau kepada penama pada masa berlaku sesuatu kejadian yang telah dipersetujui terdahulu.

2. Bagaimana ia berfungsi?

➽ Takaful adalah konsep insurans Islam yang mematuhi etika dan ketelusan garis panduan Syariah yang melarang ketidakpastian (Gharar), perjudian (Maisir) dan faedah (Riba). Perkataan Takaful berasal dari perkataan Arab Kafala yang bermaksud untuk menjamin, untuk membantu atau untuk menjaga keperluan sesama insan.

Setiap peserta yang dilindungi menyumbang atas dasar Tabarru’ (sumbangan) ke dalam dana yang akan digunakan untuk membantu semasa diperlukan.

3. Mengapa saya perlukannya?

➽ Dari perlindungan hingga simpanan, kami memiliki rangkaian portfolio pelbagai produk inovatif yang melindungi anda dari setiap aspek dengan nilai tambah yang luas, untuk masa kini dan masa hadapan.

4. Apakah yang dilindungi oleh Takaful?

➽ Takaful merupakan jaminan bersama yang disediakan oleh sekumpulan orang terhadap risiko atau bencana tertentu yang menimpa kehidupan seseorang (perlindungan hayat sekiranya berlaku kematian, kecacatan atau penyakit), harta benda atau apa-apa bentuk benda berharga.

5. Berapakah nilai perlindungan yang saya perlukan?

➽ Ia bergantung pada kemampuan dan keperluan kewangan anda. Matlamat pelan ini adalah untuk mengurangkan beban anda dan keluarga anda sekiranya berlaku sebarang musibah. Anda boleh menggunakan aplikasi Analisis Keperluan kami untuk menilai perlindungan yang anda perlukan berdasarkan kemampuan anda.


6. Apakah pertimbangan penting sebelum menyertai plan Takaful keluarga?

➽ Penyertaan dalam pelan Takaful keluarga adalah komitmen jangka panjang. Ianya amat penting untuk anda menilai apa yang anda perlukan dan apa yang anda mampu bayar. Antara faktor yang perlu anda pertimbangkan termasuklah:


Keperluan Anda 
Pilihan yang anda buat untuk pelan jangka panjang mestilah berdasarkan hasil analisa keperluan anda sendiri. Anda perlu menyediakan penyata semua aset dan liabiliti, matlamat masa depan, dsb. dan tumpukan kepada jumlah yang anda ingin dilindungi.
Obligasi Risiko Anda 
Walaupun semua pelan Takaful keluarga melindungi kematian, ada pelan yang melindungi risiko spesifik, sebagai contoh, tahap awal penyakit kritikal, kematian akibat kemalangan, dan hilang upaya separa. Liabiliti seperti hutang dan pembiayaan perlu dibayar dalam suatu tempoh. Oleh itu, tempoh sijil anda seharusnya merangkumi jangka masa ini. Sebagai contoh, jika pembiayaan rumah anda memerlukan 15 tahun untuk diselesaikan, maka tempoh perlindungan seharusnya berterusan sekurang-kurangnya 15 tahun
Tanggungan dan Komitmen Anda
Jika tanggungan anda masih mempunyai beberapa tahun sebelum mampu berdikari secara kewangan, tempoh tersebut boleh menjadi tempoh perlindungan anda. Peristiwa penting seperti perkahwinan atau kerjaya tetap seharusnya berada dalam tempoh tersebut untuk membolehkan keluarga anda menguruskan sebarang ketidakpastian kewangan.
Matlamat Kewangan Anda
Ia boleh menjadi matlamat spesifik seperti peruntukan pusaka untuk anak anda atau menjelaskan gadai janji anda. Matlamat ini seharusnya mempunyai tempoh masa yang tetap.
Tahap Perlindungan Yang Anda Mahu 
Secara amnya ia adalah berdasarkan beberapa faktor, antaranya:
  • Berapa ramai tanggungan anda (cth: ibu bapa pesara, pasangan, anak)
  • Baki obligasi kewangan jangka panjang anda (cth: pembiayaan rumah, dana pendidikan)
  • Gaya hidup/standard kehidupan semasa anda
  • Simpanan dan aset pelaburan semasa anda
  • Unjuran kos perbelanjaan di masa depan berdasarkan penilaian matawang dan inflasi (cth: ijazah pendidikan di universiti swasta hari ini boleh meningkat 50% lebih tinggi di masa depan)
Kemampuan Bajet Anda 
Ia adalah amaun yang boleh anda ketepikan untuk Takaful keluarga selepas ditolak perbelanjaan, komitmen dan simpanan. Pelan Takaful bertempoh, yang melindungi untuk sejumlah tahun, seperti Pelan Lindungi kami, biasanya adalah alternatif yang lebih murah untuk individu yang baru melangkah ke alam dewasa dengan bajet yang ketat. Walaupun anda ingin mengekalkan gaya hidup semasa orang yang tersayang, anda tidak perlu meletakkan sasaran untuk menyediakannya jika anda mendapati sumbangan yang diperlukan melebihi bajet anda. Jika anda tidak dapat meneruskan pembayaran sumbangan apabila tiba masanya, sijil Takaful anda boleh luput atau ditamatkan.
7. Apakah yang perlu saya tahu apabila saya mendapatkan plan Takaful keluarga?

➽ Fahami Produk Dengan Teliti 
Pastikan anda membaca dan memahami semua dokumen berkaitan produk seperti Ilustrasi Produk dan Helaian Maklumat Produk (yang boleh diperolehi dari Perunding Takaful anda) sebelum memberi komitmen untuk menyertai pelan Takaful keluarga.
Maklumkan Maklumat Yang Diperlukan 
Pengendali Takaful telah meletakkan proses pengunderaitan untuk menentukan jenis risiko anda kepada syarikat Takaful dan untuk membolehkan syarikat menentukan sama ada untuk menerima atau menolak risiko tersebut. Risiko kematian atau penyakit kritikal ditentukan oleh beberapa faktor seperti umur, jantina, gaya hidup, sejarah peribadi dan perubatan, pekerjaan dsb.
8. Takrifan terma?

➽ Syariah: Undang-undang Islam, termasuk obligasi, tanggungjawab, dan pertimbangan moral dari sudut perundangan dan moral.


Riba: Faedah, riba, larangan yang bertujuan untuk membezakan pertukaran yang ditegah (di mana terdapat kelebihan ketara kepada satu pihak dalam kontrak) daripada pertukaran yang sah dan dibenarkan serta pinjaman yang sah. Lebihan, atau secara harfiahnya peningkatan/penambahan – tidak tepat sebagai ‘faedah’ tetapi menyerupainya
Maisir: Keuntungan dari permainan BERASASKAN nasib, keuntungan tidak sepatutnya diperolehi.
Gharar: Ketidakpastian di dalam kontrak pertukaran mengenai kewujudan, kebolehserahan, kuantiti atau kualiti tentang perkara tersebut. Penipuan, bahaya, spekulasi dsb.
Tabarru: Sebahagian daripada sumbangan peserta untuk tujuan bantuan bersama dan digunakan untuk membayar tuntutan yang diserahkan oleh pihak menuntut yang layak.
Wakalah Bil Ajr: Satu persetujuan yang melantik kami untuk menguruskan kesemua perkhidmatan yang disediakan di bawah Sijil anda. Kami akan mengambil sebahagian daripada sumbangan anda sebagai Caj Wakalah untuk perkhidmatan yang kami berikan.

Comments